Gambar Hiasan
Memang
tiada siapa pun dapat menduga bila saat kematian mereka akan tiba.
Sebab itu ramai yang masih leka dan tiada persediaan ‘menanti’ saat
kematian mereka. Allah berfirman yang bermaksud:
“Setiap
yang hidup akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan
dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu akan kembali.”
(Surah al-Anbiyak ayat 35)
Tahukah
kita bahawa malaikat maut sentiasa merenung serta melihat wajah
seseorang itu 70 kali dalam sehari? Andainya manusia sedar hakikat itu,
nescaya mereka tidak lalai mengingati mati.
Oleh
kerana malaikat maut adalah makhluk ghaib, manusia tidak dapat melihat
kehadirannya, sebab itu manusia tidak menyedari apa yang dilakukan
malaikat Izrail.
Hadis
Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Abbas r.a bahawa
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Bahawa malaikat maut
memerhati wajah manusia di muka bumi ini 70 kali dalam sehari. Ketika
Izrail datang merenung wajah seseorang, didapati orang itu ada yang
gelak-ketawa. Maka berkata Izrail: ‘Alangkah hairannya aku melihat orang
ini, sedangkan aku diutus oleh Allah untuk mencabut nyawanya, tetapi
dia masih berseronok-seronok dan bergelak ketawa.’”
Justeru,
tidak hairanlah, jika ramai manusia yang masih mampu lagi bergelak
sakan dan bersenang-lenang seolah mereka tiada masalah yang perlu
difikirkan dalam hidup. Takdirnya esok hari terakhir Allah ‘pinjamkan’
nyawa kepada kita untuk bernafas di muka bumi ini adakah kita sudah
cukup bekalan bagi menghadapi dua fasa berikutnya iaitu alam barzakh dan
alam akhirat?
Tiada
seorang pun di dunia ini dapat menggambarkan bagaimana perasaan dan
pengalaman mereka menghadapi saat kematian. Ajal tidak mengenal sesiapa
sama ada mereka itu tua, muda, sihat, kaya atau miskin. Rasulullah s.a.w
juga menjelaskan dalam hadisnya bahawa kesakitan ketika hampir mati itu
seperti ditetak 100 kali dengan pedang tajam atau seperti dikoyak
kulitnya dari daging ketika hidup-hidup. Bayangkanlah betapa sakit dan
dahsyatnya saat menghadapi kematian. Kalau hendak diikutkan siapa yang
hendak nyawanya dicabut dalam keadaan yang amat menyeksakan.
Maka amat beruntunglah sesiapa yang matinya dalam keadaan khusnul khatimah (kebajikan).
Salman
Al-Farisi meriwayatkan hadis Nabi s.a.w yang bermaksud: “Perhatikanlah
tiga perkara kepada orang yang sudah hampir mati itu. Pertama: berpeluh
pada pelipis pipinya; kedua: berlinang air matanya dan ketiga: lubang
hidungnya kembang kempis.
“Manakala
jika ia mengeruh seperti tercekik, air mukanya nampak gelap dan keruh
dan mulutnya berbuih, menandakan menandakan azab Allah sedang menimpa
dia.” (Hadis riwayat Abdullah, al-Hakim dan at-Tarmizi)
Kematian
‘menjemput’ manusia secara perlahan-lahan atau beransur-ansur mulai
aripada jasad, hujung kaki kemudian ke paha. Bagi orang kafir pula,
apabila nyawanya hendak dicabut Izrail, wajahnya akan menjadi gelap dan
keruh dan dia mengeruh seperti binatang yang disembelih. Itu pula tanda
azab yang diterimanya disebabkan dosa dan kekufuran mereka.
Al-Qamah
bin Abdullah meriwayatkan hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
“Bahawa roh orang mukmin akan ditarik oleh Izrail dari jasadnya dengan
perlahan-lahan dan bersopan sementara roh orang kafir pula akan direntap
dengan kasar oleh malaikat maut bagaikan mencabut nyawa seekor khimar.”
Allah
juga turut menimpakan seorang Muslim yang berdosa itu dengan kekasaran
ketika mereka menghembuskan nafasnya yang terakhir sebagai kaffarah
dosanya. Mungkin ada juga orang kafir yang mati dalam ketenangan mungkin
kerana ketika hidupnya dia berbuat kebajikan dan itu adalah balasan
terhadapnya kerana setiap kebajikan pasti akan dibalas. Tetapi kerana
tidak beriman, ia tidak menjadi pahala kebajikan dan kekufurannya tetap
diazab pada hari akhirat kelak.
Rasulullah
s.a.w bersabda yang bermaksud: “Apabila telah sampai ajal seseorang itu
maka akan masuklah satu kumpulan malaikat ke dalam lubang-lubang kecil
dalam badan dan kemudian mereka menarik rohnya melalui kedua-dua telapak
kakinya sehingga sampai ke lutut.
“Setelah
itu datang pula sekumpulan malaikat yang lain masuk menarik roh dari
lutut hingga sampai ke perut dan kemudiannya mereka keluar. Datang lagi
satu kumpulan malaikat yang lain masuk dan menarik rohnya dari perut
hingga sampai ke dada dan kemudiannya mereka keluar. “Dan akhir sekali
datang lagi satu kumpulan malaikat masuk dan menarik roh dari dadanya
hingga sampai ke kerongkong dan itulah yang dikatakan saat nazak orang
itu.”
Malaikat
Izrail menjalankan arahan Allah s.w.t dengan sempurna. Dia tidak
diutuskan hanya untuk mencabut roh orang sakit saja ataupun roh orang
yang mendapat kecelakaan dan malapetaka. Kematian mungkin berlaku kerana
sebab bencana seperti gempa bumi, banjir, kebakaran dan ada juga yang
matinya disebabkan kemalangan, diserang penyakit berbahaya seperti
kanser, jantung, Aids, denggi dan taun. Seorang yang sedang sakit tenat,
menjadi rahmat yang tinggi nilainya kerana Allah masih memberi peluang
supaya mereka sedar akan kesilapan yang mereka lakukan selama hidup di
dunia.
Maka
waktu itu mereka masih berpeluang bertaubat dari dosa dan kesilapan.
Begitu juga halnya dengan orang mati mengejut disebabkan kemalangan. Ia
memberi pengajaran dan peringatan kepada mereka yang masih hidup supaya
berhati-hati dan tidak lalai berusaha untuk memperbaiki diri.
Justeru,
bagi mereka yang masih diberikan nikmat kehidupan perlu sentiasa
mengambil iktibar terhadap segala yang berlaku. Allah menjadikan sebab
kematian itu bagi memenuhi janji-Nya kepada malaikat maut. Saidina Abbas
meriwayatkan dalam sebuah hadis antara lain menerangkan malaikat Izrail
berasa sedih apabila ditugaskan mencabut roh makhluk bernyawa. Ini
kerana antara makhluk bernyawa itu adalah termasuk manusia yang terdiri
daripada kekasih Allah iaitu Rasul, nabi, wali dan orang soleh. Malaikat
maut mengadu kepada Allah betapa dirinya tidak disenangi keturunan Adam
a.s.
Dia
mungkin dicemuh kerana mencabut roh manusia yang mana menyebabkan orang
berduka cita akibat kehilangan orang tersayang dalam hidup mereka.
Justeru, jika seseorang Muslim itu meninggal dunia, beberapa langkah
penting perlu dilakukan seperti menempatkan jenazah di tempat yang
sesuai sebagai menghormatinya, sunat meletakkan keadaan kakinya menghala
ke arah kiblat, tanggalkan pakaian berjahit, tutupkan jenazah dengan
sehelai kain nipis ke atas seluruh jasadnya, rapatkan kedua-dua belah
matanya dan mulutnya, letakkan kedua-dua tangan jenazah di atas dadanya
sebagaimana dalam keadaan qiam (berdiri) ketika solat, letakkan sesuatu
yang sederhana berat di atas perutnya seperti gunting dan pisau serta
sunat bagi yang hidup mencium jenazah. Umat Islam dilarang mengaitkan
kematian seorang Muslim itu dengan tanda tertentu.
Itulah
yang menyebabkan umat Islam semakin mundur kerana terlalu banyak
mempercayai perkara khurafat dan tahyul. Jika ada kematian seperti
kemalangan contohnya kita ditegah untuk bertanya kepada waris apakah
perbuatan ganjil yang dilakukan sebelum kematiannya. Tiada siapa pun
dapat mengelak daripada mati melainkan Allah dan kematian tetap akan
datang tepat pada masanya.
Apabila
sampai ajal seseorang, umat Islam digalakkan memberi nasihat kepada
keluarga si mati supaya bertenang dan banyakkan bersabar. Islam menegah
amalan keterlaluan seperti menjerit dan meratapi kematian. Mereka yang
masih hidup peluang perlu dimanfaatkan dengan memperbaiki keadaan diri
yang ternyata banyak melakukan kesilapan dan kesalahan. Tiada daya atau
usaha yang boleh menyelamatkan kita daripada kematian. Kematian
menjadikan hati manusia menjadi sedih serta berpisah dengan keluarga
tercinta. Hanya amalan soleh saja akan membawa kita bertemu Allah.
No comments:
Post a Comment